Thursday, September 3, 2020

Kenali Kunyit Liar: Temu Lawak, Temu Hitam, Temu Putih, Temu Pauh, Temu Emas Dan Temu Kunci

Kunyit sebenarnya berasal dari kawasan Asia Tenggara dan perkataan kunyit dikhaskan kepada kunyit biasa yang kita selalu makan dengan nama saintifiknya Curcuma domestica sedangkan jenis-jenis lain diberikan nama temu.

Khasiat Kunyit

Di Malaysia terdapat beberapa spesies kunyit liar yang kebanyakannya digunakan sebagai bahan ubatan tradisional.

Antaranya ialah temu pauh (Curcuma mangga), temu emas (Curcuma zeodoria), temu putih (Curcuma auriantica), temu hitam (Curcuma aerugtinosa), temu lawas atau temu lawak (Curcuma xanthorthiza) dan temu kunci.

Kalau dilihat sepintas lalu adalah sukar untuk membezakan setiap spesies yang dinyatakan kerana secara amnya bentuk dan struktur rumpun tumbuhan ini adalah sama.

Bagaimanapun, jika diteliti secara terperinci nyatalah setiap spesies kunyit itu mempunyai perbezaan terutamanya dari segi daun, bunga, susunan rizom, warna rizom dan aromanya.

Curcuma domestica mudah ditanam di negara ini dan sering ditemui dipinggir rumah atau ditanam di dalam pasu.

Tumbuhan kunyit merupakan tumbuhan merumpun tahunan. Tingginya lebih kurang satu meter, daunnya lebar, licin dan bertangkai panjang.

Bunga kunyit berwarna kuning muda keputihan. Rizomnya (umbi) berwarna kuning tua serta beraroma yang tersendiri.

Daripada analisis kimia rizom kunyit, sebatian-sebatian kimia yang dikenal pasti ialah curcumin yang memberikan warna kuning, tumereon, zingiberin dan minyak pati yang terdiri daripada turmerol, fellandren, kamfer, curcumon dan lain-lain lagi.

Kunyit banyak digunakan sebagai bahan ramuan dalam penyediaan ubat tradisional. Perahan air kunyit bersama madu lebah dan minyak lenga digunakan untuk menyembuhkan bengkak hati.

Kunyit berserta dengan ramuan-ramuan lain juga digunakan untuk mengubati bengkak gusi, sakit dada dan perut, gangguan haid dan melancarkan aliran darah.

Sebatian kimia dari kunyit juga telah dibuktikan dapat digunakan sebagai ramuan penghalau serangga seperti kumbang beras, anai-anai dan lipas.

Kunyit juga didapati berkesan mencegah pertumbuhan kulat dan bakteria.

Berikut adalah penjelasan bagi kunyit-kunyit liar beserta dengan manfaat dan khasiatnya, selain dari kunyit biasa yang kita selalu gunakan dalam masakan

TEMU LAWAK (Curcuma zanthorrhiza)

Kunyit liar Temu Lawak

Temu lawak (Curcuma zanthorrhiza) merupakan spesies kunyit yang tumbuh liar, namun kini banyak ditanam di kebun-kebun atau dihalaman rumah.

Rumpun Temu Lawak ini boleh mencapai ketinggian dua meter dan merupakan spesies paling tinggi jika dibandingkan dengan spesies lain.

Struktur temu lawak seperti kunyit biasa tetapi tulang daunnya berwarna ungu tua. Bunganya berwarna kuning kemerahan. Rizomnya berwarna oren muda, besar dan panjangnya mencapai 10 cm. Aromanya berbeza daripada kunyit biasa dan rasanya pahit pedas.

Sebagai bahan ubatan tradisional, temu lawak digunakan untuk mengubati penyakit hati dan demam kuning.

Ia juga merupakan ramuan dalam jamu untuk menyembuhkan demam, sembelit, melancarkan aliran darah, merangsang pengeluaran air hempedu, ubat asma dan sakit perut.

Minyak temu lawak ini juga digunakan sebagai anti-inflamateri. Perahan air temu lawak juga dapat merangsang pembentukan susu bagi ibu-ibu yang baru bersalin.

Disebabkan kegunaannya begitu meluas, kini ia boleh diperolehi dalam bentuk tablet di kedai-kedai farmasi dengan beraneka jenama.

TEMU HITAM (Curcuma aeruginosa)

Kunyit liar Temu Hitam

Temu hitam merupakan spesies kunyit yang hidup liar dan boleh ditemui di Myammar, Indonesia dan Malaysia.

Rizomnya yang tua berwarna ungu atau biru tua, sementara rizom yang muda berwarna putih. Rasanya pahit dan pedas.

Rumpunnya boleh mencapai ketinggian 1.5 meter. Daunnya berwarna hijau tua dan tulang daunnya berwarna merah keunguan.

Rizom temu ini digunakan sebagai ramuan ubatan tradisional.

Contohnya, ia digunakan bersama daun lemundi dan madu lebah untuk mengecutkan rahim bagi wanita yang baru bersalin.

Rizomnya juga digunakan sebagai ubat cacing, membangkitkan selera makan bagi kanak-kanak, juga digunakan untuk penyakit kulit, pembersihan nifas dan beberapa penyakit jangkitan kulit.

TEMU PUTIH (Curcuma auriantica)

TEMU PUTIH (Curcuma auriantica)

Temu putih juga mempunyai struktur rumpun yang hampir sama dengan temu lawak. Yang membezakannya ialah rizomnya yang besar dan berwarna putih.

Spesies ini sukar ditemui di Malaysia tetapi banyak terdapat di Jawa, Indonesia secara liar. Rizomnya berasa pahit dan dijadikan ramuan dalam ubatan.

Air perahan rizom Temu putih digunakan untuk membuang angin dalam perut dan merangsang pengeluaran air hempedu. Ia juga digunakan sebagai bahan ramuan untuk mengubati usus berdarah (najis berdarah).

Tepung temu putih digunakan untuk membuang lemak daripada perut dan mengubati penyakit keputihan.

TEMU PAUH (Curcuma Amada)

TEMU PAUH (Curcuma Amada)

Temu pauh, kunyit mangga atau Mango ginger (Curcuma Amada), kaya dengan kandungan kimia seperti tanin, kurkumin, amilum, gula, minyak asiri, damar, saponin, flavonoid dan protein toksis yang dapat menghambat perkembangan sel kanser.

Kunyit pauh jenis temu mangga ini rimpangnya mempunyai bau khas seperti mangga kueni dan tanaman ini banyak dimanfaatkan rimpangnya (rizom).

Mempunyai khasiat antipiretik (penurun panas), anti-toksik (menangkal racun), laksatif (pencahar) dan antioksidan.

Khasiat kunyit putih dari temu mangga ini diantaranya, mengatasi penyakit kanser, sakit perut, mengecutkan rahim sesudah bersalin, menyempitkan organ wanita, mengurangi lemak perut, menambah nafsu makan, menguatkan syahwat, mengatasi gatal-gatal pada vagina, gatal-gatal (pruiritis), luka, sesak nafas (asma), radang saluran nafas (bronkitis), demam, kembung perut dan masuk angin.

TEMU EMAS (Curcuma zeodoaria)

TEMU EMAS (Curcuma zeodoaria)

Pokok kunyit Emas atau juga dikenali sebagai Temu kuning merupakan sejenis kunyit dimana batangnya merah-kuning seperti emas, bersifat amat panas.

Khasiat Temu emas digunakan sebagai penguat urat, tahan gigi, tahan telinga (tidak cepat pekak), pemulihan kesihatan, rawatan kulit dan sebagai tonik selepas bersalin.

TEMU KUNCI (Curcuma rotunda)

TEMU KUNCI (Curcuma rotunda)

Temu kunci merupakan tumbuhan yang tumbuh liar dikawasan belukar atau hutan yang tidak terlalu tebal, biasanya tumbuh dikawasan yang agak lembab seperti di dalam kebun getah.

Rizomnya yang berbentuk panjang berbau wangi menyebabkan ia juga dijadikan rempah dalam masakan.

Temu kunci merupakan antara bahan popular yang digunakan sebagai jamu lepas bersalin. Ia mempunyai fungsi untuk melancarkan perjalanan darah dan mengembalikan kecergasan badan.

Untuk membuat jamu yang mudah, 500g temu lawak dan 500g temu kunci ditumbuk atau kisar bersama-sama.

Air kemudiannya diminum segelas setiap hari semasa pantang terutamanya pada minggu pertama kelahiran.

Antara khasiat Temu Kunci selain untuk wanita berpantang adalah, ubat masuk angin, sukar buang air kecil, ubat keputihan, buang panas, penambah stamina dan anti-bakteria.

Untuk pengambilan harian, sebaiknya dalam setiap ramuan tidak lebih dari 30 gram temu kunci.

Semoga memberi manfaat.

sumber: 1

-Kunyithalia.com