Tuesday, September 8, 2020

Khasiat Ajaib Buah Mengkudu

Buah Mengkudu atau nama saintifiknya Morinda Citrifolia diketahui begitu kaya dengan pelbagai khasiat dan manfaat yang boleh digunakan sebagai ramuan ubat-ubatan sehinggakan ia digelar sebagai Ratu Tumbuhan.

Buah Mengkudu

Khasiat buah mengkudu boleh meredakan tekanan darah tinggi, senggugut, arthritis, ulser, kencing manis, kerosakan buah pinggang, pundi hempedu serta urat saraf.

Selain itu, buah mengkudu juga dikatakan dapat merencatkan pertumbuhan sel-sel barah, mempunyai kesan analgesik (penahan sakit), antiseptik dan menghalang pertumbuhan parasit serta kulat.

Dikalangan masyarakat kepulauan Hawaii, buah mengkudu dianggap sebagai the 'Magic fruit' atau 'Buah ajaib' kerana nilai perubatannya yang tinggi.

Sebenarnya, buah mengkudu telah tercatat dalam manuskrip purba sebagai salah satu bahan utama dalam ramuan perubatan sejak 2,000 tahun lalu.

Malangnya, masyarakat di Malaysia memandang remeh khasiatnya berbanding dengan saintis Hawaii yang telah mula membuat kajian mengenainya sehinggakan buah tersebut telah dikomersialkan sejak tahun 1993.

Dan sejak lebih kurang 2000 tahun yang lalu juga, penduduk di kepulauan tersebut telah menggunakan buah mengkudu sebagai ubat untuk pelbagai jenis penyakit.

Oleh kerana khasiatnya yang sungguh istimewa itu, mereka menggelarkannya sebagai "Pain Killer", "Headache Tree" dan "Cheesefruit".

Kajian saintifik yang lain mengenai mengkudu atau Noni telah dilakukan sejak lebih 40 tahun yang lalu.

Seorang Ahli Biokimia yang terkenal mendapati kandungan proxeronine dan proxeronase dalam buah Mengkudu lebih tinggi berbanding nanas.

Maka, beliau telah merumuskan bahawa buah Mengkudu ialah sumber terbaik pembentukan protein dalam badan manusia.

Xeronine

Xeronine ialah sejenis protein yang hanya dapat dihasilkan dalam usus manusia dan kekurangan xeronine boleh mengakibatkan pelbagai jenis penyakit kepada manusia.

Xeronine juga menggalakkan pertumbuhan tisu dan mengaktifkan fungsi sel-sel badan. Oleh itu, xeronine turut memperlihatkan kesan yang terserlah untuk patah tulang, salah urat, serangan serangga, barah, melecur dan terbakar serta menghalang proses penuaan.

Kajian FRIM

Tahukah anda, masyarakat Barat sudah banyak menghasilkan ubatan daripada tumbuhan anugerah ILAHI ini bagi mendapatkan 1,001 manfaatnya.

Pun begitu, usaha penyelidik dari Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) yang meneroka khasiat buah mengkudu tidak kurang hebatnya.

Pada tahun 2008, FRIM telah mengkaji potensi buah mengkudu ini yang dapat menurunkan kandungan gula atau glukosa dalam darah.

Kemudian pada tahun 2010, mereka menyelidik potensi buah mengkudu di dalam melindungi organ hati atau hepar.

Kajian-kajian ini dijalankan bersama dengan ketua projek, Dr Nik Musa'adah Mustapha yang juga merupakan Pegawai Penyelidik Senior, FRIM.

Pegawai Penyelidik, Bahagian Hasilan Semula Jadi FRIM, Abdul Rashid Li berkata, hasil kajian dijalankan, kandungan sebatian polisakarida atau serat larut air tinggi di dalam buah mengkudu.

"Ketika dianalisa, sebatian polisakarida larut air ini diasingkan daripada buah mengkudu dan didapati sangat berpotensi menurunkan kandungan gula atau glukosa dalam darah tikus-tikus makmal yang diaruhkan diabetes ke paras normal dalam tempoh dua minggu rawatan berbanding dengan kumpulan kawalan tikus-tikus diaruhkan diabetes yang lain," katanya kepada sinar-aktif.

Menurutnya lagi, sebatian polisakarida larut air mengkudu juga didapati berpotensi melindungi organ hati tikus-tikus makmal yang diberi dos berlebihan parasetamol.

Daripada penyelidikan itu, didapati juga buah mengkudu mengandungi kandungan protein larut air tinggi.

Protein ini berjaya diekstrak daripada mengkudu dan diuji potensinya sebagai ejen peningkat tenaga atau prestasi.

Melalui ujian renang paksa atau force swim test, tikus makmal yang diberi protein larut air menunjukkan masa atau tempoh renangan lebih panjang berbanding kumpulan tikus yang tidak diberi apa-apa.

Polisakarida larut air buah mengkudu juga menunjukkan aktiviti peningkat prestasi setelah ujian renangan paksa dijalankan.

Jangan Berlebihan

Susulan hasil penyelidikan sebatian polisakarida mengkudu sebagai ejen menurunkan kandungan gula dalam darah, pihaknya mempatenkannya dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia pada 30 Ogos 2010 dengan tajuk A Medicinal Composition.

Hak untuk menghasilkan sebatian polisakarida pada skala pandu telah diberikan kepada sebuah syarikat di bawah Program FRIM-MTDC.

Manakala sebatian polisakarida mengkudu ini juga telah digunakan sebagai bahan utama penghasilan biskut kesihatan jenama Le'Natura di mana produk ini terdapat di pasar raya besar seluruh negara.

Dan sekiranya pengguna mahu memanfaatkan buah ini jika hendak dibuat sendiri, disarankan agar buah ini diproses di dalam bentuk jus daripada buah masak yang segar.

Memandangkan rasa dan bau jus buah mengkudu tidak berapa menyenangkan, disarankan juga jus buah mengkudu tersebut dicampurkan bersama jus buah lain yang mempunyai rasa lebih lazat dan bau menyenangkan.

Namun apa pun perlu berjaga-jaga, di sebalik tinggi dengan sebatian makanan makronutrien iaitu polisakarida dan protein, buah mengkudu juga mengandungi sebatian-sebatian antinutrien seperti anthraquinone, iridoid dan sterol tumbuhan.

Walaupun kuantiti sebatian ini kecil iaitu kurang satu peratus di dalam buah tersebut, tetapi dikhuatiri sebatian-sebatian antinutrien ini boleh memberi kesan kepada buah pinggang dan organ hati jika ia diambil di dalam kuantiti terlalu tinggi.

Oleh itu, pengguna disarankan agar penggunaan buah Mengkudu ini tidak diambil pada kuantiti yang terlampau banyak.

​​​​ANEKDOT MENGKUDU

Berikut adalah 10 manfaat kesihatan jus mengkudu dan mengapa ia baik untuk anda:

  • Merawat artritis.
  • Menurunkan risiko gout.
  • Meningkatkan tenaga.
  • Melembapkan kulit.
  • Melawan penuaan.
  • Merawat kerengsaan kulit kepala.
  • Mengelakkan kanser.
  • Meningkatkan kekebalan jangkitan.
  • Mengurangkan stres.
  • Merawat demam.


Nota: Jus mengkudu mempunyai bau tengit. Jadi mencampurkannya dengan jus nanas atau sesuatu yang kuat untuk menutupi rasa, memudahkan ia untuk diminum.

Semoga memberi manfaat.

-Kunyithalia.com