Friday, September 25, 2020

Bahaya Radikal Bebas Kepada Kesihatan

Radikal bebas adalah sesuatu yang terbentuk secara semulajadi dalam semua kehidupan termasuk manusia dan komuniti saintis telah lama menerima kenyataan bahawa radikal bebas terlibat dalam hampir semua proses biologikal.

Radikal Bebas

Radikal bebas adalah suatu molekul atau atom yang mempunyai satu elektron yang tidak berpasang dan boleh wujud sendirian. Elektron ini berputar atau 'spin' pada sesuatu arah tertentu samada "up" atau "down".

Sebarang elektron yang bersendirian akan cuba mencari pasangan. Ia berbuat demikian agar dapat mencari pasangan elektron yang mempunyai putaran yang bertentangan.

Putaran yang bertentangan akan berada dalam sistem bertenaga rendah atau 'low energy system'. Kewujudan radikal superoksida, O2˙¯, satu spesis radikal yang ketara dalam sistem biologikal manusia telah disertakan juga dengan enzim superoksida dismutase (SOD) sebagai penawarnya.

Ini secara tidak langsung menunjukkan perlunya kewujudan radikal bebas dalam semua kehidupan.

Kuantiti spesis radikal bebas yang berlebihan tidak digemari bagi kebanyakan situasi tetapi radikal bebas yang terlalu sedikit pula adalah sesuatu yang tidak dikehendaki.

Contohnya, tisu pada serviks yang sihat mempunyai jumlah radikal bebas yang tinggi sedangkan tisu barah pula hampir tiada langsung radikal bebas.

Radikal bebas memainkan peranan yang penting dalam ‘signal network of cells’ yang merangkumi aruhan tumbesaran sel serta apoptosis dan pemusnahan sel 'immunocompetent'.

Bukti-bukti kebaikan radikal bebas dan keperluan kehadirannya dalam kehidupan sel serta organisma semakin meningkat kebelakangan ini.

Pembinaan organisasi supramolekul sesuatu sel (terutamanya sebatian bermembran) memerlukan kesan dari rangkaian silang oksiradikal terutamanya radikal OH•.

Adalah dijangkakan, fluks berterusan radikal OH• kemungkinan adalah prasyarat untuk menyelenggara delokalisasi elektron protin secara konstan (Zs-Nagy, 2001).

Nitrik oksida (NO•)

Nitrik oksida pula adalah suatu radikal yang terbentuk dari asid amino L-arginine oleh tiga isoform nitrik oksida sintase.

Nitrik oksida yang terhasil ketika luka seperti selepas pembedahan akan membantu dalam pembentukan kolagen dan proliferasi sel dalam membaikpulih luka tersebut (Witte & Barbul, 2002).

Nitrik oksida juga boleh mengurangkan radang pulmonari dan kecederaan paru-paru akut yang diaruhkan oleh lipopolisakarida (Kang et al., 2002).

Walau bagaimanapun, secara amnya, majoriti penyakit terutamanya keadaan malignan seperti kanser payu dara mempunyai kaitan dengan radikal bebas.

Begitu juga dengan proses degeneratif seperti penuaan, penyakit kardiovaskular, radang, Alzheimer, sklerosis, gangguan neural, katarak dan diabetes.

Antara radikal bebas yang sering dibincangkan adalah radikal oksigen dan hidrogen peroksida yang sentiasa dihasilkan dalam tubuh manusia.

Pada masa yang sama, tubuh manusia telah diperlengkapkan dengan sistem pertahanan antioksidan yang mencukupi untuk mengimbang kesan negatif radikal bebas yang terhasil secara normal.

Dengan lain perkataan, tiada lebihan kapasiti untuk pertahanan antioksidan dalam tubuh badan manusia.

Oleh kerana penghasilan radikal bebas dan paras antioksidan ini lebih kurang seimbang, maka ketidakseimbangan mudah berlaku sekiranya terdapat kelebihan radikal bebas yang akan mengakibatkan gangguan biokimia sesuatu sel. Ketidakseimbangan ini dikenali sebagai stres oksidatif.

Signal stres oksidatif yang sederhana adalah baik kerana ia membantu dalam membaikpulih sel dengan mengenalpasti sel yang rosak serta memusnahkannya.

Pada masa yang sama, sebagai gerakbalas kepada signal stres oksidatif, sistem pertahanan antioksidan badan juga akan dipertingkatkan.

Stres oksidatif telah diakui sebagai proses yang terlibat di dalam patogenesis penyakit degeneratif seperti barah dan tumor.

Kini, penyelidikan telah menunjukkan bahawa kandungan oksidan yang rendah boleh mengubahsuai protein pemberi-signal.

Pengubahsuaian ini mempunyai implikasi pada fungsinya. Oleh itu, penyelidik sedang mengenalpasti protein sasaran yang manakah yang akan melalui pengubahsuaian redox.

Melalui kaedah ini, penyelidik akan dapat memahami cara oksidan menjadi antara penyebab proses patologikal seperti tumor.

Ini adalah amat penting kerana protein sasaran yang sama mungkin boleh dijadikan sasaran bagi tindakan antioksidan juga.

Dengan itu, bukan sahaja diketahui kaedah menghadang signal yang dikeluarkan oleh oksidan malah rangsangan tindakan antioksidan juga boleh berlaku.

Cetusan ide tentang kemudaratan dari radikal bebas berlebihan yang terbit dari aktiviti fizikal bermula sejak 30 tahun dahulu.

Radikal bebas yang dihasilkan ketika bersenam berpunca dari sistem pengangkutan elektron dalam mitokondria, polimorfoneutrofil dan xantina oksidase.

Walau bagaimanapun, antioksidan berunsur enzim dan tidak berunsur enzim menunjukkan versatiliti dan adaptasi gerakbalas yang baik terhadap senaman akut dan kronik.

Definisi senaman akut, mengikut Ji, (http://www.ssc.wisc.edu/aging/ji.htm) merujuk kepada senaman yang dibuat pada jangkasamasa yang pendek secara spontan (contohnya larian atas ‘treadmill’ selama 30 minit) dan ini tidak memberi kesan senaman yang berpanjangan.

Senaman kronik pula bermaksud senaman yang dilakukan dalam jangkamasa yang lama contohnya 10 minggu atau lebih.

Senaman kronik boleh merangkumi senaman jangka pendek yang dijalankan untuk satu tempoh masa yang lama.

Walaupun pada peringkat awalnya diketahui bahawa bagi jenis senaman yang tertentu akan mengakibatkan pembentukan radikal bebas, namun tidak pula diketahui atau dipastikan jenis senaman yang bagaimanakah benar-benar akan memulakan rantaian tindakan radikal bebas dan terus mendatangkan bahaya.

Ketidakselarasan dari segi keputusan ini adalah disebabkan perbezaan protokol kajian seperti jenis, intensiti dan jangkamasa senaman dan definisi otot yang terlibat dalam aktiviti fizikal.

Kebanyakan kajian merujuk kepada seluruh tubuh badan manusia atau haiwan sebagai komponen yang melakukan senaman.

Oleh itu, radikal bebas yang dihasilkan dari aktiviti fizikal dianggap berpunca dari pergerakan tubuh badan.

Sedangkan ada kemungkinan ia hanya disebabkan oleh jenis pengecutan otot. Ini juga bergantung kepada jenis senaman yang dilakukan.

Senaman akan meningkatkan kadar penggunaan oksigen yang lebih jika dibandingkan dengan semasa rehat, oleh itu kita boleh menjangkakan kadar penghasilan radikal bebas adalah lebih tinggi juga.

Secara logik, peningkatan radikal bebas ini adalah suatu fenomena yang tidak digemari kerana berlebihan radikal bebas adalah memudaratkan.

Jenkins (1993) menganggarkan 2-4% dari oksigen yang sepatutnya diguna semasa fosforilasi oksidatif berakhir dengan pembentukan radikal bebas.

Ini berlaku kerana semasa fosforilasi oksidatif, oksigen telah diturunkan dengan penambahan satu hidrogen sahaja.

Akibatnya, terbentuk satu elektron tidak berpasang dalam molekul oksigen yang juga dikenali sebagai radikal superoksida yang boleh terbebas melalui sistem pengangkutan elektron pada rantai ubiquinone.

Penyelidikan tentang kesan radikal bebas terhadap otot skeletal semasa bersenam juga sering menumpu kepada kegiatan aerobik.

Ini mungkin kerana kajian telah menunjukkan aktiviti fizikal anerobik tidak mendatangkan kerosakan oksidatif terhadap otot skeletal.

Sudah tentu, terdapat juga sistem perlindungan di dalam tubuh badan yang berupaya untuk detoksifikasikan sebahagian dari radikal bebas ini.

Enzim 'scavenger' ini membantu mengawal jumlah radikal bebas yang ada dengan menukarkan molekul bereaktif tinggi ini kepada kurang aktif atau tidak aktif langsung.

Antara enzim yang utama adalah superoksida dismutase, glutation peroksidase dan katalase. Sekiranya jumlah radikal bebas berlebihan dan enzim fisiologikal ini terbatas tindakan perlindungannya, maka radikal bebas yang terbentuk akan dapat bertindak balas dengan komponen selular seperti karbohidrat, lipid, protein dan asid nukleik dan mengakibatkan kerosakan sel.

Senaman juga boleh mempengaruhi tindakan dan tahap kandungan enzim ini dalam manusia.

Banyak kajian berkenaan kesan terhadap latihan ketahanan untuk meningkatkan kandungan enzim badan dan kapasiti pertahanan antioksidan dilakukan ke atas haiwan (terutamanya tikus dan mencit).

Penyelidikan ke atas manusia adalah terhad dan kebanyakan hanya mengkaji sampel darah. Ini mungkin kerana penyelidikan berkenaan enzim seringkali melibatkan analisis kandungan enzim di hati iaitu stor utama enzim antioksidan seperti glutation di mana haiwan eksperimen tersebut sering dikorbankan bagi analisis enzim antioksidan.

Percanggahan keputusan kajian juga didapati dalam penyelidikan yang melibatkan manusia dan haiwan disebabkan oleh 1) perbezaan protokol latihan dan pengujian 2) umur dan jantina yang tidak sama 3) perbezaan status dan protokol pemakanan 4) strainberbeza dalam haiwan 5) perbezaan dalam kaedah asai atau analisis.

Bagi mendapat faedah maksimum dari akiviti fizikal, pengurusan stres yang berpunca dari aktiviti fizikal adalah perlu.

Walaupun senaman yang kerap boleh menyerlahkan ketahanan serta keupayaan antioksidatif tisu badan, kelebihan ini tidak mencukupi untuk melawan stres oksidatif dari senaman akut.

Tokokan antioksidan eksogenus boleh membantu bagi memperkukuhkan sistem pertahanan badan dari radikal bebas.

Satu gabungan regim tokokan antioksidan dan senaman yang kerap boleh membantu menghalang dan mengurangkan risiko penyakit serta mendorong ke arah tahap kesihatan optimal.

Oleh kerana senaman meningkatkan penggunaan oksigen berlipat ganda dari semasa rehat, ini akan menjurus kepada stres oksidatif yang mengakibatkan peningkatan penghasilan radikal bebas dan proses lipid peroksidasi terutamanya bagi 'weekend athlete'.

Ini adalah kerana atlet seperti ini belum mengukuhkan lagi sistem pertahanan badan dari radikal bebas melalui regimen senaman yang dilakukan.

Tetapi adakah tokokan antioksidan yang berada di pasaran benar-benar diperlukan oleh individu yang bersenam dengan kerap?

Patutkah tokokan antioksidan dijadikan suatu rutin atau adakah ia hanya suatu perancangan pemakanan bagi atlit yang diwar-warkan kononnya dapat mempertingkatkan tahap prestasi dalam sukan?

Ini adalah sesuatu yang sering dipersoalkan oleh pakar kesihatan, ahli saintis sukan, 'fitness leaders' dan jurulatih sukan.

Alasan serta dos pengambilan tokokan pemakanan bergantung kepada cara kehidupan seseorang (perokok, terdedah kepada asap rokok sekunder, pencemaran, radiasi dan sebagainya) serta aktiviti fizikal dan cara pemakanan.

Terdapat berbagai dakwaan mengenai kelebihan mengambil tokokan pemakanan dalam mengatasi berbagai masalah kesihatan dan juga sebagai awet muda namun risiko di sebalik tokokan pemakanan yang tidak terkawal boleh membawa kesan sampingan seperti kelesuan.

Kelesuan ini mungkin disebabkan oleh penghapusan berlebihan radikal bebas yang dipercayai penyebab stres oksidatif, sedangkan radikal bebas sebenarnya mempunyai fungsi yang baik dalam tubuh badan.

Contohnya O2˙¯ terhasil oleh sel fagosit yang bertanggungjawab menghapuskan sel mati dan sel asing dalam sistem pertahanan tubuh badan.

Oleh itu, sebelum memulakan tokokan pemakanan adalah perlu untuk mengetahui keperluan dan kemujaraban setiap jenis tokokan pemakanan itu, contohnya beberapa bahan fitokimia, tokotrienol dan flavonoid menunjukkan ciri merencat tumbesaran sel barah tetapi tokoferol tidak boleh berbuat demikian.

Tokokan pemakanan yang mempunyai ciri antioksidan sering diselidik bagi mengetahui dengan lebih mendalam serta memahami tindakan biokimia dalam menangani radikal bebas dalam tubuh manusia.

Tokokan dari hasil semulajadi sering menjadi rawatan alternatif bagi pesakit kanser, diabetes, katarak, serta melambatkan proses penuaan.

Malangnya, kerapkali tokokan antioksidan yang berpunca dari bahan semulajadi kerap dijual dalam pasaran dalam bentuk antioksidan sintetik seperti BHT (butylated hydroxytoulene).

Semoga memberi manfaat.

-Kunyithalia.com