Tuesday, September 29, 2020

Apa Itu Inflammation (Keradangan)?

Jika suka membaca tentang herba, anda tentu pernah mendengar tentang radang yang dalam istilah perubatan, ia disebut inflammation atau inflammatory, juga disebut sebagai 'itis' di setiap akhir organ atau bahagian yang mengalami keradangan tersebut.

Inflamasi

Contohnya radang jantung (cardiac) disebut carditis, radang apendiks (appendix) sebagai appendicitis. Dan jika kita menyebut radang, inflammation atau inflammatory ini, pastinya anda juga telah membaca mengenai anti-inflammatory, atau anti-radang, adalah rawatan menentang bakteria jahat.

Apakah maksud radang?

Apabila kaki terseliuh, selalunya anda akan mengalami bengkak pada bahagian terbabit atau kepala terhantuk di dinding, benjol akan keluar. Bengkak dan benjol itu adalah contoh tindak balas keradangan.

Secara ringkasnya, radang adalah tindak balas yang diberikan oleh badan apabila berlaku kecederaan atau jangkitan. Ia adalah sebahagian daripada mekanisme perlindungan oleh tubuh.

Lebih banyak darah akan mengalir di tempat yang terbabit dan beberapa bahan kimia dilepaskan serta sel-sel darah putih juga akan turut terlibat. Tujuannya adalah untuk melawan jangkitan dan membantu dalam proses pemulihan.

Semua tindak balas tersebut akan menyebabkan simptom-simptom berikut:
  • Bengkak.
  • Kemerahan dan panas.
  • Sakit.
  • Hilang fungsi – contohnya sendi tak boleh bergerak, jantung gagal berfungsi dengan baik.

Radang di luar kawalan
Dalam beberapa keadaan, radang berlaku walaupun tanpa kehadiran apa-apa jangkitan mahupun kecederaan. Keadaan seperti ini boleh berlaku dalam sekumpulan penyakit yang disebut sebagai penyakit autoimun.

Dalam penyakit ini, sistem ketahanan badan berada di luar kawalan. Ia dengan sendirinya menyerang sel-sel normal di dalam badan.

Disebabkan ia berlaku bukan kerana jangkitan atau kecederaan, maka ia hanya akan membawa kemudaratan berbanding kebaikan.

Antara contoh penyakit autoimun adalah:
  • Sistemik lupus eritomatosus (SLE).
  • Artritis reumatoid (RA).
  • Osteoartritis (OA).
  • Hepatitis autoimun.
  • Penyakit Chrohn.
  • Ulseratif kolitis (UC).

Malangnya, masih tiada rawatan khusus bagi penyakit autoimun secara amnya. Apa yang terbaik dapat dilakukan adalah dengan melemahkan sistem imun badan agar sistem tersebut tidak lagi menyerang sel-sel normal.

Namun, kesannya adalah pesakit lebih terdedah kepada lebih banyak jangkitan dan lebih mudah jatuh sakit.

Apakah rawatan bagi radang?
Jika berlaku keradangan biasa dan tidak melibatkan organ dalaman, anda boleh lakukan perkara berikut:
  • Letakkan bahagian terbabit di posisi yang tinggi untuk mengurangkan peredaran darah, seterusnya mengurangkan bengkak – angkat tangan dan kaki yang bengkak.
  • Tuam dengan ais atau air sejuk.
  • Ambil ubat tahan sakit – panadol, aspirin.
  • Rehatkan bahagian yang terbabit.
  • Jumpa doktor jika tidak berlaku perubahan dalam tempoh 3 hari atau terasa sangat sakit.

Herba

Sekadar perkongsian, kunyit, halia dan bawang putih adalah antara herba anti-radang terbaik yang mudah diperolehi.

Sebaik-baiknya semua herba ini dimakan bersama-sama dengan lada hitam untuk memudahkan khasiatnya diserap oleh tubuh kita.

Semoga memberi manfaat.

sumber: hellodoktor

-Kunyithalia.com