Monday, August 24, 2020

Keajaiban Kurkumin Dalam Kunyit Yang Mampu Mencegah Dan Menyembuhkan Kanser

Menurut seorang pensyarah yang juga pengkaji herba dari Universiti Oxford di United Kingdom, Profesor Gerard Bodoker, kunyit mempunyai bahan aktif utama dengan nama 'curcumin' atau Kurkumin, yang mampu menguatkan sistem imuniasi atau penahan badan dari serangan penyakit.

Kurkumin anti Kanser

Curcumin juga merupakan antara bahan penyembuh terbaik di dunia dalam perubatan tradisional dan moden, kerana ia mempunyai keupayaan anti-oksidan yang mampu meneutralkan radikal bebas yang menjadi akar umbi penyakit kanser.

Bahan aktif didalam kunyit adalah 'kurkumin' (curcumin) iaitu sejenis bahan anti oksidan dan anti radang yang kuat dan kunyit juga mengandungi mineral seperti manganese, zat besi, vitamin B6, kalium, vitamin C, magnesium dan serat yang tinggi.

Apa Itu Radikal Bebas?

Radikal bebas adalah bahan kimia yang meresap ke dalam darah dan merosakkan sel-sel sihat di dalam badan dan curcumin yang mengandungi komponen bioaktif polyphenol membantu mencegah tanda-tanda awal kanser.

Keradangan atau inflammasi adalah punca kepada pelbagai jenis penyakit kronik seperti obesiti, kanser, sakit jantung, darah tinggi, sindrom metabolik, pengerasan saluran darah (atherosklerosis) dan penyakit Alzheimer.

Dan apa yang menakjubkan tentang curcumin adalah bahawa, ia bersifat anti radang dan antioksida yang berkesan untuk mencegah penyakit dan amat baik buat mereka yang mahu mencapai tahap kesihatan yang optimum.

Bagaimana Curcumin Bertindak?

Kurkumin bertindak sebagai agen anti keradangan di peringkat molekul dengan menghalang molekul NF-κB masuk ke bahagian nukleus dalam sel yang akan mengaktifkan gen yang berkaitan dengan keradangan atau inflammasi.

Kajian juga menunjukkan kurkumin boleh membantu dalam melawan penyakit-penyakit akibat keradangan seperti penyakit keradangan usus besar (IBS), keradangan sendi rheumatoid, bengkak sendi dan mengurangkan sakit sendi dan urat.

Kurkumin juga boleh menurunkan paras kolesterol, menjaga kesihatan jantung, mengurangkan masalah penghadaman dan meningkatkan fungsi hati.

Tinggi Antioksidan

Kajian membuktikan radikal bebas adalah punca kepada pelbagai jenis penyakit kronik seperti kanser, kardiovaskular dan sebagainya dan Kurkumin adalah bahan anti oksidan yang melawan kesan radikal bebas dengan meneutralkan radikal bebas yang menyerang sel-sel di otak, buah pinggang, hati dan jantung.

Menurut laporan oleh Institute Linus Pauling di Oregon State University, kurkumin yang diambil secara oral akan mencapai kepekatan yang mencukupi dalam gastro usus kita untuk menentang radikal bebas yang menyebabkan kesan oksidatif kerosakan DNA pada lapisan mukosa usus.

Disamping itu, kurkumin juga mencetuskan ekspressi Fasa II enzim anti oksidan termasuklah 'glutamate-cysteine ligase' (GCL) dan enzim untuk sintesis glutathione (GSH).

Glutathion ini adalah anti oksidan semulajadi dalam sel-sel tubuh kita yang sangat penting untuk sel-sel tubuh menghadapi stres atau tekanan.

Kajian menunjukkan curcumin meningkatkan ekspressi GCL dengan mengaktifkan pelbagai laluan isyarat dan lain-lain enzim detoksifikasi.

Kurkumin Mencegah Kanser

Kajian menunjukkan kurkumin boleh membantu mengurangkan risiko kanser, juga boleh merencat perkembangan dan pertumbuhan sel-sel kanser di peringkat molekul lagi.

Kajian khusus dalam makmal dan juga kepada haiwan menunjukkan kurkumin mencegah kanser kolorektal.

Disamping itu, kurkumin juga menghalang pertumbuhan saluran darah baru (angiogenesis) kepada ketumbuhan kanser dan juga ia membantu menghalang merebaknya kanser atau metastases.

Kurkumin juga boleh membunuh sel-sel kanser secara terus dan satu kajian melibatkan 44 orang peserta yang mempunyai ketumbuhan (lesion) dalam usus besar yang boleh berubah menjadi kanser telah dijalankan.

Selepas di berikan 4 gram kurkumin selama 30 hari didapati 40% pengurangan jumlah ketumbuhan tersebut.

Kajian lain juga menunjukkan kurkumin boleh mencegah penyakit neurodegeneratif Alzheimer dan tiada rawatan untuk pemulihan penyakit ini dan cara terbaik adalah mencegahnya sebelum terkena.

Kurkumin adalah bahan yang boleh merentasi halangan lapisan darah-otak (blood brain barrier) dan kajian menunjukkan ia boleh membantu meningkatkan fungsi kecerdasan otak seseorang.

Kajian juga menunjukkan kurkumin dapat mengurangkan pengumpulan bahan plak beta amyloid, mengurangkan degradasi sel saraf otak, 'chelation' logam berat, mengurangkan penghasilan sel mikroglia, anti keradangan dan anti oksidan.

Secara umumnya didapati kurkumin meningkatkan memori pesakit Alzheimer apabila mengambilnya.

Kajian oleh Stanford University School of Medicine menunjukkan bahan protin beta amyloid merosakkan sinapses saraf sebelum ia bergumpal sebagai plak yang akan membunuh sel-sel saraf.

Kerana itulah seseorang pesakit Alzheimer mempunyai masalah ingatan kerana kerosakan.

Cara Pengambilan Curcumin (Kunyit) Yang Betul

Kandungan kurkumin dalam kunyit hanyalah 3% setiap gram berat, oleh itu ekstrak kurkumin adalah cara terbaik untuk mendapat kesan yang optimum kerana hanya dengan pengambilan melalui makanan seperti kari dalam masakan tidak akan mampu mencapai dos yang diperlukan iaitu melebihi 1 gram sehari.

Kurkumin juga lebih susah di serap ke dalam saluran darah dan cara terbaik untuk meningkatkan penyerapannya adalah dengan pengambilan lada hitam sekali dengannya kerana lada hitam mengandungi bahan 'piperine' yang akan meningkatkan penyerapan kurkumin sehingga 2,000 peratus.

Boleh juga mengambil suplemen curcumin setiap hari sebagai satu kaedah menjaga kesihatan kita.

Namun, walaupun kunyit secara umumnya selamat dimakan, tetapi pengambilan yang terlalu banyak boleh menyebabkan masalah kembung angin, loya, cirit-birit, reaksi kulit, pedih ulu hati, sakit kepala dan darah cair.

Amalkan pengambilan kunyit secara sederhana setiap hari dalam masakan harian kita untuk mendapatkan kesan terbaik.

Semoga memberi manfaat.

sumber: 1 | 2

-Kunyithalia.com