Tuesday, July 14, 2020

Isteri John Travolta Meninggal Dunia Setelah 2 Tahun 'Melawan' Kanser

Setelah hampir dua tahun bertarung kanser payudara, isteri kepada pelakon Hollywood John Travolta iaitu Kelly Preston meninggal dunia pada Ahad (12 Julai 2020) dan berita sedih mengenai kematian aktres berusia 57 tahun itu dikongsi oleh John menerusi laman Instagram.

John Travolta - Kelly Preston

"Berat hati untuk memaklumkan kepada semua bahawa isteri saya, Kelly telah pergi selepas berjuang dua tahun dengan kanser payudara.

"Dia telah berjuang dengan penuh berani melawan penyakit ini bersama kasih sayang dan sokongan ramai," tulisnya pada kapsyen.

Sementara itu, John meminta ruang peribadi dan memohon maaf kepada peminat kerana perlu memberikan fokus kepada anak-anak terlebih dahulu selepas pemergian isteri tercinta.

John Travolta - Kelly Preston
Perkongsian John mengenai kematian isteri tercinta di Instagram.

"Kelly akan terus dicintai dan diingati selalu. Saya akan mengambil beberapa tempoh untuk bersama dengan anak-anak yang kehilangan ibu mereka.

"Atas sebab itu, saya minta maaf sekiranya tidak mendengar khabar mengenai kami buat seketika, tetapi saya dapat rasai kasih sayang daripada anda semua," ujarnya.

Pasangan selebriti ini mendirikan rumah tangga di Paris pada tahun 1991.

Hasil perkahwinan selama 29 tahun, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Ella, 20, dan Benjamin, 9.

Bagaimanapun, anak lelakinya, Jett meninggal dunia pada 2009 pada usia 16 tahun.

Kelly mempunyai perjalanan karier yang panjang dalam industri filem dan televisyen dan kebanyakannya digandingkan bersama suaminya.

Filem terakhir gandingan bersama pasangan ini adalah berjudul Gotti yang ditayangkan pada 2018. -mstar

Semoga memberi manfaat.