Tuesday, July 28, 2020

Denmark Paling Ramai Rakyat Hidap Kanser

Menurut kenyataan dikeluarkan oleh Tabung Kajian Kanser Dunia, seramai 326 daripada 100 ribu penduduk Denmark menghidap penyakit itu setiap tahun, menjadikan negara itu sebagai negara paling tinggi kadar penghidap kanser di dunia.

Denmark Cancer

Ireland dan Australia pula berada di tangga kedua dan ketiga, manakala sebuah lagi negara eropah iaitu United Kingdom berada pada kedudukan ke-22.

Walau bagaimanapun, terdapat kemungkinan peningkatan kadar kanser di negara berkenaan berikutan peningkatan obesiti dan pengambilan minuman keras. Ia diburukkan lagi dengan faktor gaya hidup yang malas beriadah.

Pada 2012, jumlah penghidap kanser yang disebabkan masalah kegemukan di Britain meningkat kepada 19 ribu kes.

Dalam laporan terbabit juga mendapati penduduk di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat mencatat jumlah paling rendah menghidap kanser.

China temui kaedah kesan kanser 4 tahun sebelum bergejala

Sementara itu, sekumpulan penyelidik di China mendakwa berjaya menghasilkan satu ujian darah yang boleh mengesan kehadiran kanser empat tahun sebelum muncul sebarang simptom.

Dalam kajian terbaharu, ujian darah bukan invasif yang dinamakan 'PanSeer' itu mampu mengesan kanser dalam 95 peratus individu yang tiada simptom dan kemudian didiagnos menghidap kanser.

"Kami menunjukkan bahawa lima jenis kanser boleh dikesan menerusi ujian darah berdasarkan metilasi DNA sejauh empat tahun sebelum pesakit terima diagnosis konvensional," tulis kumpulan penyelidik itu dalam jurnal Nature Communications.

Menurut mereka, ujian tersebut tidak dapat meramalkan kanser dan sebaliknya hanya mengenal pasti pertumbuhan barah yang belum lagi menyebabkan simptom.

Jenis ujian itu yang dikenali sebagai biopsi cecair kini menjadi fokus dalam bidang kajian kerana ia menawarkan proses saringan yang tidak invasif.

Memetik laporan akhbar The Guardian, kajian tersebut bagaimanapun bukan yang pertama melaporkan keputusan positif berhubung pengesanan awal penyakit kanser.

Namun, menurut penyelidik, kajian berkenaan amat mengujakan kerana ia membuktikan bahawa kanser boleh dikesan sebelum pesakit menunjukkan sebarang simptom.

Kajian tersebut menggunakan sebanyak 414 sampel plasma darah yang dikumpul daripada beberapa individu di China di antara 2007 dan 2014.

Hasil kajian itu mendapati bahawa PanSeer mengesan kanser dalam 88 peratus peserta kajian yang telah didiagnos menghidap kanser dan dalam 95 peratus peserta yang tidak didiagnos, namun kemudian menghidap kanser.

Ujian itu berjaya mengenal pasti individu yang menghidap kanser sebanyak 96 peratus daripada kesemua ujian.

Kajian itu bagaimanapun mempunyai beberapa kelemahan termasuk jumlah sampel yang kecil serta gagal untuk menentukan jenis kanser yang dialami pesakit.

Semoga memberi manfaat.

sumber: 1 | 2