Sunday, June 3, 2018

Pesakit Kanser Usus Terpaksa Jaga Isteri Lumpuh Perlukan Sumbangan

SEGAMAT - Rumit bagi seorang lelaki di Taman Koh Cheng San di Kampung Tengah di sini, untuk menguruskan isterinya yang lumpuh dan tiga anak masih bersekolah selepas disahkan menghidap kanser usus pada tahun lalu.

Ahmad Othman, 48, berkata, akibat penyakitnya itu dia kini tidak boleh melakukan sebarang pekerjaan berat selain terpaksa mengharapkan tiga anaknya untuk menguruskan isterinya, Noraini Othman, 49.

“Isteri pula lumpuh pada badan sebelah kiri sejak tahun 2011 dan sebelum ini memang saya sendiri yang menguruskan segala keperluan isteri dan anak-anak dan bila saya sakit, segalanya menjadi kelam-kabut.

“Saya juga terpaksa berhenti kerja sebagai pekerja kontrak di sekolah dan sekarang saya hanya boleh melakukan kerja-kerja ringan sahaja seperti memasak, mengemas rumah dan menukarkan lampin isteri sahaja,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, doktor juga terpaksa menebuk perutnya untuk memasang beg najis dan akibat penyakitnya itu, dia sering berulang-alik ke tandas setiap beberapa minit sekali kerana tidak mampu mengawal deria membuang air besar.

Katanya, dia sebelum ini menjalani rawatan kemoterapi dan pengimbasan tomografi berkomputer (CT-Scan) di Hospital Sultan Ismail (HIS) dan sepatutnya perlu menjalani sesi kemoterapi kedua pada 21 Mei lalu.

“Bagaimanapun, saya tak dapat pergi buat rawatan sebab memikirkan isteri dan anak-anak kerana paling kurang saya akan ditahan di dalam wad selama seminggu sedangkan saya perlu hantar dan jemput anak ke sekolah.

“Saya sepatutnya perlu menjalani pembedahan pada 25 April lalu, di Hospital Sultanah Aminah (HAS), namun tarikh tersebut ditunda pada hari raya ketiga ini dan saya berharap segala urusan dipermudahkan,” katanya.

Akui Ahmad, dia kini tidak mempunyai sebarang pendapatan tetap, selain hanya bergantung kepada bantuan bulanan sebanyak RM300 masing-masing daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal.

Katanya, dia juga buntu memikirkan kos persekolahan anak-anaknya iaitu Syahrul Aiman, 17; Mohd Nor Haikal, 15 dan Nur Anis Syuhadah, 13, selain perlu membelanjakan kira-kira RM900 sebulan untuk kos rawatan dia dan isterinya serta perbelanjaan keluarganya.

“Beg najis ini sepatutnya perlu ditukar setiap hari, namun disebabkan faktor kewangan, saya terpaksa mencuci dan menggunakannya semula kerana harga untuk setiap satu beg najis ini bernilai RM10.

“Sekiranya saya sihat seperti sebelum ini, saya akan kembali bekerja untuk isteri dan anak-anak dan setakat ini kami tidak membuat sebarang persiapan raya kerana duit yang ada perlu diguna secara cermat,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Ahmad di talian 0136727013 atau menyalurkan secara terus ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) milik Ahmad bernombor 0112-2417-0000-3361. -sinar online