Monday, May 14, 2018

Wanita Derita Hidap Diabetis, Dulu Bekerjaya Kini Sekadar Terlantar

Gara-gara penyakit diabetes dihidap lebih setahun lalu, seorang ibu muda hanya mampu terlantar di rumahnya di Kampung Chohong, Melaka.

Noor Faizah - diabetes

Noor Faizah Abd Razak, 33, berkata, dia yang dahulunya bekerja, kini tidak mampu berbuat apa-apa dan bergantung sepenuhnya kepada keluarga untuk menguruskan diri.

Menurut ibu kepada dua anak itu, kehidupannya lebih terbeban kerana wang perbelanjaan perubatan dan rawatan bergantung sepenuhnya kepada suami.

“Saya dan suami ada dua ank bersekolah tahun 4 dan 6. Suami hanya bekerja kampung, dan keluarga juga hanya daripada golongan sederhana

“Bila suami bekerja, emaklah yang menjaga saya sepenuh masa sedangkan emak juga sudah berusia,” katanya.

Noor Faizah berkata, walaupun mempunyai wang pampasan hasil pekerjaannya dahulu, tetapi ia tidak sebanyak mana.

“Bekas majikan membayar sebanyak RM8,000 saja kerana pihaknya yang minta saya berhenti kerja kerana penyakit dihidapi.

“Saya pernah juga bertanyakan kepada Socso mengenai perkara ini, tapi kata mereka alasan saya tak kuat dan mereka tak dapat berikan sebarang bantuan,” katanya.

Berkongsi mengenai penyakitnya itu, Noor Faizah berkata, dia menyedari penyakitnya mula serius apabila dia tidak boleh bangun seperti biasa.

“Masa tu, bila nak bangun saja, saya rasa nak pitam.

“Kemudian saya mudah demam. Kalau baik pun sekejap saja.

“Sejak itulah saya terpaksa menjalani pelbagai rawatan sehingga akhirnya saya hanya terbaring di rumah,” katanya.

Sementara itu, Adun Rim, Datuk Ghazale Muhamad turut meluangkan masa melihat keadaan Noor Faizah bersama pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Ghazale berkata, beliau telah pun meminta pihak JKM menyalurkan bantuan sewajarnya kepada Noor Faizah.

“Saya juga minta mereka untuk menyemak dengan pihak Socso mengenai perkara ini,” katanya. -sh