Monday, March 19, 2018

Simpanan Semakin Susut Rawat Kanser Usus

BANDARAYA MELAKA - Bapa kepada empat orang anak, kini gusar memikirkan wang simpanannya kian habis digunakan bagi rawatan kanser usus yang dialami sejak Julai tahun 2017 lalu.

Simpanan Semakin Susut Rawat Kanser Usus

Lebih malang lagi, bagi Chia Kwe Seng, 56, dia turut diberhentikan kerja sebagai penyelia stor, gara-gara kerap mengambil cuti sakit.

Menurut Kwe Seng, dia kini langsung tiada sumber pendapatan bagi menanggung keluarga apatah lagi kesemua anaknya masih belajar dan ditambah pula keadaan isterinya, Gan Siew Liang, 48, yang turut mengalami masalah kesihatan.

“Lepas diberhentikan kerja, saya langsung tiada sumber pendapatan.

Lagi pun setiap hari kena belanja, perbelanjaan sebulan sampai beribu, wang simpanan yang ada pun tak berapa lama lagi habis.

“Siapa nak tanggung saya selepas ini? Jangan cakap nak hidup mewah, nak makan pun tak cukup, belum lagi soal bayar bil elektrik, air, ditambah pula kos rawatan isteri yang mengalami masalah peranakan dan tekanan darah rendah,” katanya.

Kew Seng ditemui sempena lawatan Pengarah Pusat Perkhidmatan BN (Pembela BN) Negeri Melaka, Amir Hamzah Aziz bersama Pengarah Perkeso negeri, Fadhilah Hamil di rumahnya di Taman Seri Jati, Batu Berendam, di sini.

Turut sama, Setiausaha Japerun Ayer Keroh, Saniman Abdul Ghafar.

Kew Seng berkata, dia yang pernah menjalani pembedahan usus bagi penyakit itu, kini mengalami lemah seluruh anggota badan dan tidak berupaya berjalan lebih-lebih lagi melakukan kerja berat.

“Masa pergi tandas saya rasa sakit, bila buang air besar, bercampur darah, jadi saya ada buat pemeriksaan di hospital, kesudahannya, doktor kata saya terkena kanser,” jelasnya.

Sementara itu, Amir Hamzah berkata, pihaknya dengan kerjasama Japerun Ayer Keroh akan membantu menguruskan permohonan bantuan bulanan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Difahamkan sebelum ini, Kwe Seng ada membuat permohonan pencen ilat namun sukar diproses Perkeso sebab dia masih di peringkat rawatan awal.

“Justeru, dia perlu mengemas kini laporan perubatan terbaru bagi memudahkan Perkeso menjalankan proses seterusnya untuk permohonan pencen tersebut,” katanya. -sinarharian