Wednesday, October 11, 2017

Bengkak Petanda Kanser Tulang

SIK - Kesan bengkak di paha kiri kanak-kanak berusia 6 tahun setelah terjatuh petanda dia disahkan menghidap kanser tulang.

Kanser tulang

Ibunya, Nor Syuhaida Yahya, 29, dari Kampung Hujung Bandar berkata, paha kiri anak tunggalnya, Muhammad Faris Zaquan Mohd Makhruzi didapati bengkak kira-kira dua bulan sebelumnya.

“Pahanya membengkak dan langsung tak boleh berjalan. Bila tanya, dia kata sebab jatuh lepas main dengan kawan-kawan.

“Bila hantar ke Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani, doktor sahkan dia diserang kanser tulang,” katanya ketika ditemui di kediamannya.

Mengulas lanjut, Nor Syuhaida berkata, anaknya didapati berjalan dalam keadaan tidak stabil sebulan sebelum kejadian.

“Sebulan sebelum kejadian, anak dah jalan terhincut-hincut dan kata sakit paha. Tapi waktu tu saya dan suami ingatkan sakit biasa.

"Ada hikmahnya bila dia jatuh, kalau tak tiada siapa tahu anak hidap kanser tulang,” katanya.

Menurutnya, atas nasihat doktor, persekolahan Muhammad Faris terpaksa ditangguhkan bermula hujung Ogos 2017 lalu.

“Doktor nasihat supaya tangguh sekolah dan tak benarkan anak banyak bergerak sebab bimbang tulang rapuh.

"Dia juga kena pakai topeng di dalam dan luar rumah sebab tak boleh kena asap rokok, sampah serta kenderaan,” katanya.

Nor Syuhaida berkata, anaknya bakal menjalani rawatan kimopot dan kemoterapi pada 24 serta 26 Oktober 2017 di Hospital Besar Pulau Pinang.

Katanya, sebelum ini pada 14 September dan 5 Oktober, Muhammad Faris telah menjalani pembedahan di paha kiri bagi rawatan tisu tulang termasuk kemoterapi pertama.

"Kos rawatan ditanggung guna hasil upah kerja suami saya (Mohd Makhruzi Ya’akop, 33). Selain kos rawatan, kami juga kena sediakan lampin pakai buang, susu dan keperluan lain. Sebulan adalah dalam RM300,” katanya.

Tambahnya, belum ada permohonan bantuan dibuat kepada Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) Sik atau Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sik.

“Saya suri rumah, suami kerja kampung. Pendapatan bulanan tak menentu. Kalau ada rezeki lebih dapatlah RM800 sebulan.

"Saya belum buat permohonan LZNK atau JKM sebab tak tau macam mana caranya,” katanya. -sinarharian